Wednesday 29 July 2009

JODHAA AKBAR






Saya bukan peminat tegar filem Hindi, hanya kadang kala genre filem itu sendiri yang menarik minat saya menonton, ditambah lagi adanya Hrithik Roshan dan Aiswarya Rai. Dua pelakon yang dianggap 'couple' paling serasi filem Hindi.

Filem ini budget besar, kosnya saya kurang arif, tidak rajin untuk menjengah jaringan ke jaringan mencari maklumat. Fokus saya lebih kepada apa pendapat dan perasaan saya menontonnya.

Saya mungkin tidak adil menilai tapi jujur saya katakan saya tidak berpuas hati dengan penceritaan filem ini. Entah apa salahnya, saya sentiasa membanding filem ini dengan Devdas sepanjang tayangan. Isu perkahwinan berbeza agama begitu menganggu saya sedangkan ini bukan perkara luar biasa di India sendiri. Keserasian antara Hrithik sebagai Akbar dan Aish sebagai Jodha, puteri Rajput yang dikahwinkan atas sebab politik memang begitu mengasyikkan ditambah alunan lagu merdu komposer prolifik AR Rahman. Dua perkara ini saja meyakinkan saya untuk terus menonton filem ini ke akhirnya.

Sekali imbas, tiada apa yang kurang tentang filem ini, pelakon cantik dan kacak, berjaya pula mengangkat watak mereka, lagu yang indah, set yang gah tapi apa yang kurang pada saya ceritanya tidak lancar. Akbar adalah pemerintah Mughal paling berjaya, terkenal dengan kebijaksanaannya terutama taktik peperangan. Di zamannya ilmu dan seni bina islam berkembang pesat di India. Sayangnya, maklumat utama ini tidak diceritakan dengan yakin. Akhirnya bagi saya filem ini tak lebih dari metafora bukan sejarah.